Soal Jawab Lebah Kelulut

SOALAN LAZIM



Di sini adalah himpunan soalan-soalan lazim berkenaan penternakan lebah kelulut atau meliponikutlur. Soalan dan jawapan akan dikemaskini selalu

Kemaskini terakhir: 25/9/2014

Biologi Lebah Kelulut

Apakah itu lebah kelulut dan perbezaannya dengan lebah madu (Apis)?

Kedua-dua spesis lebah ini tergolong dalam famili Apidae iaitu famili lebah yang menghasilkan madu. Lebah kelulut adalah lebah tak bersengat manakala lebah madu atau lebah Apis adalah lebah bersengat.

Bagaimana kelulut membiak?

Sama seperti lebah Apis, lebah kelulut mempunyai seekor ratu dalam mengawal koloni.

Apakah itu haif, koloni, sarang,?


Penternakan


1. Saya baru berjinak dalam dunia penternakan lebah kelulut. Apakah isitilah yang patut saya belajar?

Antara istilah yang mesti diketahu oleh penternak lebah kelulut adalah seperti berikut:

anter (anther), apiari, bakal ratu/puteri, batumen, beeskap, corong masuk, damar, debunga, feromon, foraj, haif denak, haif umpan, jeli diraja, kantung debunga, kantung madu, kasta, kebuk eraman (brood chamber), kelulut, kelulut peninjau, kepinding (assassin bug), kepompong, kerumunan (swarming), kerumunan mengawan, kokun, koloni, kotak madu, kumbang sarang (hive beetle), larva, lebah kayu (carpenter bees), lebah pemotong daun, lilin, madu kom, madu mentah, madu terproses, meliponari, nectar, penapaian, pendebunggaan, penjantan (drone), pigmen, propolis, pupa, ratu, rekabentuk sarang, roti lebah, sel eraman (brood cells), serumen, toping, yis

Untuk maklumat lanjut (tentan penerangan) istilah tersebut, sila klik di link ini.

Sejak bilakah penternakan kelulut mula aktif di Malaysia?

Mengikut rekod, penternakan bermula oleh MARDI pada tahun 2008 dengan untuk mencari agen pendebunga pokok ciku mega.


2. Berapakah spesis kelulut di Malaysia. Antara semua itu berapakah pula boleh diternak untuk madunya?

Terdapat lebih daripada 500 spesis kelulut di dunia. Manakala lebih kurang 36 spesis kelulut di Malaysia. Menurut MARDI setakat ini dua spesis dikenal pasti yang berpotensi untuk diternak bagi penghasilan madu iaitu Heterotrigona itama dan Geniotrigona thoracica.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.


3. Apakah spesis-spesis bunga yang lebah kelulut suka hinggap?

Antara tanaman yang kelulut sangat suka hinggapi dan bagi saya setiap penternak kena tanam ialah pokok air mata pengantin, pokok biden, belimbing madu dan selasih. Pokok-pokok ini mesti ditanam kerana ianya amat disukai oleh kelulut (H. itama & G. thoracica), berbunga sepanjang tahun dan mudah ditanam.

Untuk maklumat lanjut berkenaan spesis bungan yang dihinggai kelulut, sila klik di link ini.


4. Apakah jenis haif yang sesuai digunakan untuk menternak lebah kelulut?

Kelulut pada asasnya boleh tinggal di pelbagai tempat termasuk dalam simen, dalam pasu ceramik, paip besi dan juga batang buluh. Walau bagaimanapun lebih 80% daripadanya ditemui di batang kayu dan buluh. Oleh itu, jenis haif yang paling sesuai ialah haif kotak kayu. Haif kotak kayu juga mudah untuk kendalikan kerana ringan dan mudah disuaikan dari segi saiz dan bentuk.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.


5. Saya ingin menternak kelulut dengan menggunakan pasu seramik atau tong plastik. Adakah boleh?

Rujuk jawapan di Soalan 4 (Bahagian Penternakan). Ada juga penternak yang menggunakan pasu ceramic dan pertumbuhan juga dilaporkan baik. Penggunaan bekas plastik tidak digalakkan sama sekali kerana bahan plastik dikhuatiri menjejaskan keaslian madu yang terhasil.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.


6. Bagaimana hendak mengecam sel ratu, dari segi bentuk, saiz dan kawasan yang biasa ditemui?

Saiz sel ratu lebih besar sehingga 2 kali ganda berbanding dengan sel pekerja atau sel penjantan. Biasanya ia terasing daripada lapisan telur pekerja dan penjantan. Setiap koloni akan mempunyai 4-6 sel ratu bergantung kepada keaktifan koloni berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.


7. Apakah yang dimaksudkan dengan musim lebah

Dalam apikultur istilah musim lebah adalah masa pokok berbunga dengan banyak. Ia disusun dalam floral calendar. Pada masa ini makanan bagi lebah adalah sangat banyak. Ini adalah masa yang sesuai untuk membuat pembahagian koloni kerana pada masa tersebut, kelulut jantan (drone) juga lebih banyak.

Menurut beberapa pengalaman penternak tempatan, bulan April sehingga September adalah musim kelulut banyak menghasilkan madu. Manakala bulan Oktober sehingga Mac adalah musim kelulut kurang menghasilkan madu.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.

8.  Satu koloni H. itama saya telah didapati meninggalkan sarangnya walaupun pada masa itu, kepingan telor adalah nampak masih segar.  Apa yang harus saya lakukan terhadap kepingan telor tersebut?  

Apa yang harus tuan buat ialah pindahkan semua kepingan telur tersebut ke haif  kurang aktif lain.  Tambahan sel telor ini akan membantu menambah pekerja dan seterusnya boleh membantu koloni tersebut menjadi koloni aktif.  Walau bagaimanapun pastikan koloni penderma itu sama dengan spesis penerima derma sel pekerja tadi.

Like

9.  Saya telah terjumpa satu batang pokok yang agak besar (lilitan anggaran satu pemeluk).  Pada batang teresebut terdapat 3 corong kelulut dari spesis G. thoracica dengan jarak satu corong dengan yang lain adalah lingkungan 3-4 kaki sahaja.  Apa yang harus saya lakukan terhadap log ini?

Pada kebiasaannya setiap koloni hanya mempunyai satu corong keluar/masuk sahaja.  Ini akan memudahkan kelulut pekerja untuk mengawal suhu dalam log kayu dan juga menghindarkan daripada ancaman pencoroboh. Jika log kayu berkenaan mempunyai 3 corong, ini bermakna log tersebut mempunyai 3 koloni yang berasingan dan setiap koloni tersebut mempunyai ratu.  Dengan itu saya cadangkan tuan potong log tersebut kepada 3 koloni berasingan. Pastikan pemotongan yang dibuat tidak mencederakan broodcel berkenaan. Pada peringkat pemulaan tuan boleh letakkan secara berdekatan agar mudah untuk mengawal pergerakan koloni untuk memastikan semua koloni ada ratu (takut-takut tercicir semasa proses memotong dibuat).  Apabila kita pastikan semua koloni didapati aktif dan pergerakan keluar/masuk pekerja adalah banyak, ketiga-tiga koloni ini boleh diasingkan.


Persatuan

1. Saya berminat untuk menyertai persatuan atau koperasi yang berkaitan lebah kelulut.

Terdapat banyak persatuan dan koperasi kelulut berdaftar di Malaysia. Antaranya adalah Koperasi Meloponi KL, Persatuan Usahawan Lebah Kelulut Malaysia, Persatuan Apiterapi Malaysia dan lain-lain.

Setiapnya membantu ahli untuk terus maju dalam industri lebah kelulut ini.




Produk Kelulut - Madu, Roti Lebah dan Propolis

1. Berapakah jenis produk yang dihasilkan oleh lebah kelulut?

Terdapat tiga jenis produk yang dihasilkan oleh lebah kelulut iaitu madu, roti lebah dan propolis.

2. Saya biasa tertengok bahawa warna madu kelulut adalah sangat berbeza. Apakah faktor yang menyebabkan madu kelulut berlainan warna. Adakah warnanya dipengaruhi oleh spesis kelulut, tempoh penyimpanan dalam kantung atau jenis bunga yang dihinggapinya.

Faktor utama yang menyebabkan warna madu kelulut berlainan warna ialah bunga yang dilawati oleh koloni tersebut. Warna juga dikatakan dipengaruhi oleh tempoh penyimpanan madu tersebut samaada dalam dalam kantung madu dalam haif atau dalam botol.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.


3. Adakah warna hitam dan pekat adalah madu yang terbaik dan lebih berkhasiat.

Aras kepekatan adalah antara kriteria yang digunakan untuk menilai kualiti madu. Madu yang pekat mengandungi kandungan air yang kurang. Madu yang yang kadar kepekatan yang tinggi boleh disimpan lebih lama tanpa mengalami proses penapaian yang serius. Madu yang berkualiti seharusnya mengandungi kandugan air yang kurang 20%. Warna madu (gelap) bukan penentu kualiti madu berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.


4. Bagaimanakah cara yang terbaik untuk simpan madu. Adakah madu boleh disimpan dalam peti sejuk.

Bagi jangka masa yang pendek (3-4 bulan) madu mentah yang dituai dari haif tidak perlu disimpan di dalam peti sejuk kerana madu tersebut akan jadi liat. Memadailah dengan menyimpan didalam suhu bilik, dalam bekas kaca yang kedap udara dan letak ditempat teduh (tidak terdedah secara terus kepada matahari). Bagi jangka masa yang panjang (melebihi 3-4 bulan) adalah disyorkan madu tersebut disimpan didalam peti sejuk atau bilik yang suhunya dalam lingkungan 15 degrees C. Ini akan mengurangkan aktiviti penapaian yang berlaku didalam botol berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.


5.  Adakah madu kelulut yang baru dituai memerlukan apa-apa bentuk pemprosesan sebelum ianya dijual.  Adakah kualiti madu berbeza antara madu mentah (tidak terproses) dan madu yang diproses? 

Madu kelulut tidak memerlukan apa2 bentuk pemprosesan kecuali menapis bahan luaran seperti propolis, serpihan kayu dan lain-lain jika penyimpanan dibuat untuk masa yang singkat (2-3 bulan).   Walau bagaimana pun, untuk penyimapanan yang lebih lama (melebihi 3 bulan), proses pengurangan air ke tahap kurang daripada 20% harus dijalankan.  Secara umum, madu mentah yang tidak mengalami apa-apa bentuk pemprosesan adalah lebih berkhasiat berbanding madu yang telah diproses untuk mengurangkan air.  Suhu yang tinggi semasa pemprosen telaah dilaporkan boleh membunuh mikrorganisma yang terdapat dalam madu itu sendiri.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.

6. Sejak akhir-akhir ini (akhir September),  saya dapati madu yang saya tuai didapati lebih cair berbanding dengan tuaian madu sebelum ini.  Mengapa ini boleh berlaku?

Madu yang dihasilkan akan menjadi cecair apabila kandungan air adalah tinggi.  Ini berlaku disebabkan beberapa faktor.  Antaranya musim itu sendiri.  Keadaan cuaca yang lembab dan sentiasa hujan pada masa ini sudah tentu menghasilkan sumber nektar yang diambil oleh juga lebih cair. Pada kebiasaannya apabila kantung madu sudah penuh, kelulut pekerja akan mengipas2kan sayapnya untuk mengeringkan madu tersebut ketahap 19-25% sebelum ditutup sepenuhnya.  Aktiviti sebegini biasa memerlukan 3-4 hari.  Dalam keadaan cuaca yang lembab dan kelembatan relatif yang tinggi pada masa ini sudah tentu agak sukar untuk mengurangkan kandungan air ke tahap biasa dimusim kering.  Satu lagi faktor yang dilaporkan menentukan kepekatan madu ialah tahap kematangan kantung madu itu sendiri.  Menuai kantung yang tidak tutup sepenuhnya (atau baru saja ditutup) akan menghasilkan madu yang lebih cair.  Ada petani yang melaporkan madu dari spesis G. thoracica adalah lebih pekat berbanding dengan madu dari spesis H. itama.

7.  Saya difahamkan teknik memerah madu bersama-sama dengan propolis dan roti lebah akan menghasilkan madu yang lebih berkhasiat. Teknik ini banyak diamalkan oleh perternak kelulut di Indonesia. Benarkah begitu?

Memang benar teknik memerah madu bersama dengan propolis dan roti lebah akan menghasilkan koktail madu yang lebih berkhasiat. Walau bagaimanapun koktail ini hanya sesuai untuk kegunaan sendiri dan diambil segera.  Madu yang bercampur dengan roti lebah khususnya tidak boleh disimpan lama kerana roti lebah mengandungi kandungan air dan mikroorganisma yang tinggi.  Kandungan air yang tinggi akan menyebabkan penapaian mudah berlaku.  Penternak kelulut di Indonesia tidak boleh mengamalkan teknik sedutan kerana spesis kelulut yang mereka ternak, T. fuscobalteata menghasilkan kantung madu yang sangat kecil.  Di samping itu, teknik sedutan tidak akan merosakkan kantung madu yang ada.  Ini akan mencepatkan kelulut pekerja untuk membaiki dan mengisi semula madu ke dalam kantung-kantung tersebut.

8.  Adakah madu kelulut boleh diambil bagi wanita yang mengandung dan seterusnya selepas bersalin?

Ya. Madu kelulut memang boleh diambil oleh wanita mengandung dan selepas bersalin.  Mengikut pegamal perubatan madu, mengambil madu bagi wanita mengandung boleh mengelakkan ibu berhadapan dengan masalah darah rendah.  Bayi juga dikata dapat dihalang dari jangkitan penyakit kuning.  Amalan mengambil madu kelulut bagi wanita lepas dikatakan membantu meningkatkan sistem imuniti bayi.  Bayi tidak akan mudah terkena jangkitan demam selsema dll.

9.  Mengapakah kantung roti lebah bagi koloni kelulut H. itama saya didapati bercampur dengan madu?.  Apa yang harus saya buat terhadap koloni ini. Buat makluman saya menggnakan cawan plastik didalam haif topping.

Keadaan sebegini tidak biasa berlaku kerana pada kebiasaanya kelulut akan buat katung yang berlainan iaitu satu untuk diisikan madu dan satu lagi untuk diisikan dengan pollen.  Ianya kemungkinan ada kaitan dengan penggunaan cawan plastik yang diletakkan dalam haif tadi.  

Pada masa sekarang (bulan September), sumber nektar diproses untuk dijadikan madu adalah terhad. Kebanykkan koloni akan menghasilkan hanya reroti lebah dan kurang madu.  Dalam keadaan kekurangan makanan seperti sekarang ini, ada kemungkinan beebread tadi dicairkan untuk dijadikan sumber makanan untuk bagi koloni tersebut.  Roti madu yang nampak bercampur itu juga kemungkinan disebabkan roti lebah itu telah mengalami proses penapaian kerana dalam keadaan cuaca yang lembab, pekerja didapati sukar untuk mengeringkan roti tersebut ke tahap yang sepatutnya.

Rujuk perbincangan terdahulu disini. http://bit.ly/beebread-bercampur-madu

Perosak dan Penyakit


1. Koloni kelulut saya hilang selepas tiga bulan saya beli. Mengapa?

Kelulut meninggalkan haif kerana haif yang disediakan adalah tidak sesuai dengan keperluan koloni tersebut. Antara sebab yang menyebabkan keadaan diatas berlaku ialah haif yang dibuat terlampau besar/kecil, menggunakan kayu nipis (boleh menyebabkan koloni kepanasan), keadaan persekitaran dimana koloni tersebut diletak adalah tidak sesuai dan gangguan musuh perosak.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini : Lebah perut puteh / lebah tapir


Masalah


1. Saya mendapati ada penternak yang menggunakan cawan plastik dalam kotak topping mereka. Apakah pandangan pihak tuan?

Saya berpendapat cawan plastik tidak harus digunakan dalam penternakan lebah kelulut. Ini kerana dikhuatirkan bahan plastik yang digunakan boleh menjejaskan keaslian madu kelulut yang dihasilkan. Rujuk perbincangan di link ini untuk maklumat lanjut.

Untuk maklumat lanjut, sila klik di link ini.


Rujukan lanjut


1. Saya ingin mengetahui lebih lanjut tentang lebah kelulut. Apakah buku-buku rujukan yang boleh tuan sarankan?

MARDI telah menerbitkan buku Manual Penternakan Lebah Kelulut sebagai maklumat asas dalam penternakan kelulut.

Untuk maklumat lanjut berkenaan dengan buku berkenaan kelulut, sila klik di link ini.



Hak Cipta Terpelihara

Perhatian: Segala maklumat di dalam blog ini mengandungi hak cipta. Tidak dibenarkan menyalin ke dalam mana-mana medium tanpa kebenaran penulis.
Jika ada sesiapa yang terjumpa mana-mana maklumat di dalam blog ini disalin di blog lain, mohon maklumkan kepada penulis. Kerjasama anda amatlah penulis hargai.

Musa Yaacob
012-938 5630
Kota Bharu, Kelantan.