Spesies paling sukar - Harian Metro (8 Jun 2015)


Oleh :  Helmy Abd Rahman (helmy_rahman@hmetro.com.my)

Marang: Sebanyak dua spesies kelulut yang amat sukar ditemui berjaya dikesan menerusi Program Ekspedisi Saintifik- Menjejak Populasi Kelulut Indo-Malayan di pantai timur di kawasan reservasi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Bukit Kor, di sini.

Spesies berkenaan ialah homotrigona aliceae atau kelulut alis dan homotrigona fimbriata yang dikenali sebagai kelulut kristal.

Ketua ekspedisi yang juga Pensyarah Pengajian Sains dan Teknologi Makanan UMT Prof Madya Dr Shamsul Bahri Abd Razak berkata, berdasarkan penemuan itu, pihaknya percaya masih ada spesies yang sukar ditemui terdapat di kawasan berkenaan.

“Mengikut rekod Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), terdapat 38 spesies kelulut di negara ini dan dua spesies terbabit antara paling sukar ditemui.

“Mungkin terdapat spesies yang masih belum pernah ditemui atau direkodkan kerana ekspedisi hari ini (semalam) belum merangkumi keseluruhan kawasan reservasi,” katanya kepada media selepas ekspedisi anjuran Kumpulan Penyelidik Apis dan Kelulut (KPAK) UMT itu berakhir di Bukit Kor, di sini, semalam.

Menurutnya, tujuan utama program berkenaan adalah bagi mengenal pasti spesies kelulut liar sekitar Bukit Kor yang belum pernah diselidik serta bertujuan pemuliharaan serangga berkenaan.

“Kelulut adalah serangga yang menjadi ejen pendebungaan dan sangat penting untuk pembiakan tumbuhan dan kerana itu amat penting untuk dijaga dan dipulihara.

“Selain itu, pembiakan serangga ini juga boleh membantu meningkatkan perkembangan untuk sektor pertanian,” katanya.

Sementara itu, penyelidik dan pengusaha kelulut Abu Hassan Abdul Jalil yang turut menyertai ekspedisi itu berkata, terdapat kira-kira 1,000 produk boleh dihasilkan daripada kelulut dan sarangnya.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:36 AM

http://www.hmetro.com.my/node/56422#


EmoticonEmoticon

Hak Cipta Terpelihara

Perhatian: Segala maklumat di dalam blog ini mengandungi hak cipta. Tidak dibenarkan menyalin ke dalam mana-mana medium tanpa kebenaran penulis.
Jika ada sesiapa yang terjumpa mana-mana maklumat di dalam blog ini disalin di blog lain, mohon maklumkan kepada penulis. Kerjasama anda amatlah penulis hargai.

Musa Yaacob
012-938 5630
Kota Bharu, Kelantan.