Pasukan Penyelamat Lebah - Pindah Sarang Lebah Liar


Isu semasa berkenaan lebah

Dunia menghadapi fenomena Gangguan Keruntuhan Koloni atau Colony Collapse Disorder (CCD) iaitu keadaan di mana sangat banyak kehilangan lebah pekerja berlaku tiba-tiba yang menyebabkan keruntuhan sesebuah koloni lebah. Fenomena ini melibatkan lebah madu Eropah iaitu Apis mellifera di seluruh dunia. Apabila berjuta-juta lebah tiada, hutan dan sektor pertanian yang bergantung kepada pendebungaan untuk penghasilan pelbagai jenis buah-buahan terjejas teruk.

Perkara ini sangat membimbangkan dunia. Pendebunga asal di negara kita seperti lebah tualang (Apis dorsata), lebah kampung (Apis cerana), lebah lalat (Apis florea) dan berpuluh-puluh jenis lebah kelulut (stingless bee) serta lebah tukang (carpenter bee) masih selamat daripada fenomena ini. Manakala lebah madu import (Apis mellifera) masih hidup dengan baik di sini. Bagaimana pun, ancaman kemusnahan koloni lebah-lebah ini tetap ada seperti penggunaan racun serangga berbahaya dalam pertanian, pembukaan tanah-tanah hutan untuk pembangunan dan sebagainya. Justeru, usaha memelihara kelestarian lebah-lebah kita patut dilakukan.

Dalam masa kelestarian lebah-lebah ini diusahakan, terdapat pihak-pihak tertentu lebih mengutamakan keselamatan manusia tanpa melihat lebih jauh ke hadapan di mana sarang-sarang lebah yang ditemui di kawasan kediaman manusia telah dimusnahkan sama ada dengan semburan racun serangga atau lebih tragik dengan membakarnya. Sedangkan membunuh koloni lebah adalah satu perkara yang dilarang dalam Islam bahkan membunuh menggunakan api lebih lagi dilarang.

Dari Ibnu Abbas, bahawa Nabi s.a.w melarang membunuh empat haiwan iaitu semut, lebah, burung hudhud dan burng shurad. [Hadith Riwayat Abu Daud]

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Seekor semut menggigit salah seorang Nabi. Lalu Nabi itu menyuruh agar perkampungan semut itu dibakar. Setelah itu Allah mewahyukan kepadanya, 'Apakah hanya kerana gigitan seekor semut, engkau membakar satu umat yang sentiasa bertasbih?'" [Hadith Riwayat Abu Daud]

Abdurrahman bin Abdullah berkata bahawa ayahnya berkata, "Kami pernah bersama Rasulullah s.a.w. dalam sebuah perjalanan. Lalu baginda pergi menunaikan hajat. Kami melihat seekor burung hummarah bersama dua anaknya. Kami mengambil dua anaknya tersebut. Ibu burung itu pun datang dan hilir mudik datang di atas kami kerana gelisah. Kemudian Nabi s.a.w datang dan bersabda, 'Siapa yang membuat burung ini gelisah dengan mengambil anaknya? Kembalikan anaknya kepadanya.' Baginda kemudia melihat sarang semut yang telah kami bakar, lalu berkata, 'Siapa yang membakar ini?' Kami menjawab, 'Kami'. Baginda bersabda, 'Sungguh, tidak boleh menyiksa dengan api, kecuali Tuhan penguasa api (Allah)'." [Hadith Riwayat Abu Daud]



Penubuhan pasukan penyelamat lebah

Hasil perbincangan antara ahli kumpulan "Kelab Peminat Lebah Kelulut & Lebah Madu (KPLK & LM)" di Facebook, senarai nama sukarelawan penyelamat lebah dari kalangan ahli kumpulan ini telah diwujudkan pada 23 Januari 2015 yang melibatkan penyertaan dari seluruh negara. Jumlah sukarelawan terus bertambah hari demi hari. Sehingga artikel ini ditulis, sebanyak 30 sukarelawan telah berdaftar. Pendaftaran lebih ramai sukarelawan masih dialu-alukan kerana masih banyak kawasan di seluruh Malaysia belum mempunyai sukarelawan penyelamat lebah.

Sedar atas keperluan operasi menyelamat lebah diperluaskan lagi, laman Facebook "Penyelamat Lebah" telah diwujudkan pada 3 Februari 2015 bagi tujuan mempromosi usaha ini dengan lebih meluas memandangkan media sosial Facebook sudah menjadi satu medium promosi yang pantas dan mudah pada masa ini.  Pada masa ini FB page Pasukan "Penyelamat Lebah"  ini dikendalikan oleh Saudara El Ilmy dan Musa Yaacob.  Mereka juga pengendali (Admin) bagi grup FB Kelab Peminat Lebah Kelulut & Lebah Madu (KPLK & LM).

Untuk maklumat berkenaan Pasukan Penyelamat ini, anda boleh lawati lamannya seperti berikut:

1.  Laman Facebook Penyelamat Lebah
2.  Senarai skuad penyelamat lebah seluruh negara
    (Penyertaan dari ahli lain untuk menyertai skuad ini amatlah diperlukan).

Pencapaian utama pasukan penyelamat

Sejak itu, operasi menyelamat sarang lebah telah mula diwar-warkan kepada masyarakat umum dengan setiap operasi yang telah berjaya dilakukan telah dilaporkan dalam laman Facebook ini berserta foto-foto sekitar operasi menyelamat. Bersama ini dikongsikan pautan web bagi beberapa operasi menyelamat yang telah dijalankan oleh Pasukan Penyelamat ini.  Kejayaan pasukan akan dikemaskini disini dari semasa ke semasa.

1. Kawasan perumahan di Alor Setar, Kedah (6 Mac 2015)
2. Kampung Sungai Terap, Tanjung Karang, Selangor (22 Mac 2015)
3. Komplek Perkayuan Kelantan, (KPKSB) di Stong, Kelantan (23 Mac 2015)
4. Seksyen 8, Bandar Baru Bangi, Selangor (27 Mac 2015)

CATATAN:

Dokumen ini telah disediakan oleh Ketua Pengendali Pasukan Penyelamat ini iaitu El Ilmy





EmoticonEmoticon

Hak Cipta Terpelihara

Perhatian: Segala maklumat di dalam blog ini mengandungi hak cipta. Tidak dibenarkan menyalin ke dalam mana-mana medium tanpa kebenaran penulis.
Jika ada sesiapa yang terjumpa mana-mana maklumat di dalam blog ini disalin di blog lain, mohon maklumkan kepada penulis. Kerjasama anda amatlah penulis hargai.

Musa Yaacob
012-938 5630
Kota Bharu, Kelantan.