7 Tip Asas Sebelum Mula Menternak Kelulut Yang Anda Perlu Tahu



Sebelum memulakan penternakan lebah kelulut, adalah elok jika kita tahu apa perkara asas yang perlu kita buat. Ini agar mengurangkan kadar kegagalan kita menternak nanti terutama jika kita adalah penternak amatur.

1. Tahu perbezaan lebah kelulut dan lebah Apis

Terdapat perbezaan jelas antara spesis lebah kelulut dan lebah Apis. Terutama dari segi sarang yang kelulut dan lebah madu bina. Lebah kelulut membuat sarang berbentuk seperti tempayan. Manakala lebah Apis membuat sarang dengan bentuk heksagon. Di mana hendak belajar perbezaan ini? Pertama, rajinkan diri membaca informasi di blog ini. Rujuk bahagian Soalan lazim.

2. Hadir ke kursus penternakan lebah kelulut

Tak lengkap ilmu di dada jika kita hanya membaca di blog ini. Rajinkan diri melabur wang demi ilmu. Apabila menghadiri kursus, kita mendapat ilmu teori dengan amal atau hands on sekali. Saya amat sarankan kursus anjuran agensi kerajaan seperti MARDI dan Jabatan Pertanian. Agensi tersebut memang nak membantu kita untuk berjaya menternak. Jangan malas!

Berhati-hati dengan kursus anjuran penternak palsu! Rujuk kursus untuk senarai kursus terkini yang mendapat saranan daripada Kelab ini.

3. Kaji kawasan di mana penternakan akan dibuat

Tempat yang sesuai untuk diternak kelulut perlulah tempat yang kaya dengan pokok bunga. Pokok bunga tersebut perlulah pula kaya dengan nektar. Lihat senarai bunga untuk bunga-bungaan yang lebah kelulut hinggap.

4. Kaji spesis yang sesuai untuk diternak di ladang anda

Bukan semua spesis kelulut yang kita jumpa boleh diternak untuk madu. Ada juga yang diternak untuk menjadi agen pendebungaan. Apabila ada agen pendebungaan, pokok dusun seperti durian, rambutan, kelapa, langsat, dan lain-lain mampu menghasilkan buah sehingga 3 kali ganda. Bayangkan jika sebelum ini hanya ada sepuluh buah sepokok. Selepas membela kelulut, meningkat sehingga tiga puluh buah. Banyak!

Jadi tahu spesis yang hendak kita ternak. Bagaimana? Tahu nama dan rupanya. Ramai yang main belasah sahaja nama kelulut. Perlu diketahui terdapat 89 spesis kelulut bertapak di Malaysia! Banyak tu! Setiap nama kelulut ini ada nama saintifiknya. Secara umumnya, kelulut mewakili lebah tak bersengat yang menghasilkan madu (kata orang puteh Stingless bee). Tetapi kita perlu lebih khusus. Heterotrigona itama (sebut itama) dan Geniotrigona thoracica (sebut torasika) menjadi dua spesis yang diminati penternak kerana pengurusan menternak yang mudah dan penghasilan madu dan roti lebah yang banyak.

5. Cara proses produk lebah kelulut

Secara alami, kelulut menghasilkan tiga produk utama iaitu madu, roti lebah dan propolis. Setiap produk tersebut ada cara pemprosesan yang betul. Hal ini sangat penting kerana jika salah proses, madu tersebut boleh menjadi racun kepada pengguna. Ramai yang menuai madu kelulut tanpa alat yang betul. Apatah lagi dengan kadar kebersihan yang elok. Bayangkan jika makanan itu akan sampai ke mulut pengguna. Pastikan cara menuai madu kita betul. Kebersihan adalah yang utama. Pastikan halalan toyyiban madu kita.

6. Pemasaran produk kelulut dan produk hiliran

Apakah sebab kita menternak kelulut? Adakah sebagai agen pendebungaan? Atau ingin mendapat produk kelulut seperti madu, roti lebah dan propolis? Jika yang terakhir itu menjadi matlamat, kita perlu tahu di mana perlu kita pasarkan produk ini. Setiap produk itu ada pasarannya jika kita bijak mencari.

Jangan lihat produk kelulut sekadar madu, roti lebah dan propolis sahaja. Tingkatkan diri untuk mempelajari juga produk hiliran lebah kelulut seperti membuat sabun, syampu, dan kapsul.

7. Berkunjung ke ladang penternak lain

Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat. Begitulah juga kita sebagai penternak. Rajin rajinkan diri menziarahi penternak lain. Kita bertukar ilmu kelulut. Lagi banyak kita kongsikan lagi banyak ilmu yang Allah akan berikan. Bukankah ia ibarat sedekah? Lagi banyak kita sedekahkan lagi banyaklah rezeki yang kita dapat.

7 Tip Asas Sebelum Mula Menternak Kelulut Yang Anda Perlu Tahu


Diharapkan dengan perkongsian asas ini, para penternak baharu mendapat idea bagaimana untuk menternak kelulut. 7 perkara ini bukanlah yang utama. Ia hanyalah perkongsian berdasarkan pengalaman dan perbincangan bersama penternak-penternak yag lain.

Kalau rasa ada yang boleh tambah, bolehlah komen. Sama-sama kita kongsikan ilmu yang kita ada.

Bacaan lain:


1 komen so far

Madu Kelulut banyak manfaat, juga prospek bisnis ke depan


EmoticonEmoticon

Hak Cipta Terpelihara

Perhatian: Segala maklumat di dalam blog ini mengandungi hak cipta. Tidak dibenarkan menyalin ke dalam mana-mana medium tanpa kebenaran penulis.
Jika ada sesiapa yang terjumpa mana-mana maklumat di dalam blog ini disalin di blog lain, mohon maklumkan kepada penulis. Kerjasama anda amatlah penulis hargai.

Musa Yaacob
012-938 5630
Kota Bharu, Kelantan.