Nektar Pada Daun Pokok Acacia (Acacia mangium)

Lelehan nektar terkeluar pada tangkai daun

Posting sebelum ini saya telah memberi sedikit penerangan berkenaan jenis pokok Acacia dan perbandingan dengan pokok gelam.  Pada posting ini saya ingin memberi penerangan tambahan khususnya kepada Acacia mangium.  Ini kerana bagi A. mangium ini agak istimewa kerana daunnya berupaya mengeluarkan nektar yang sangat diminati oleh kelulut dan serangga lain.

Bahagian daun dimana nektar terhasil..

Bahagian yang mana nektar terhasil ialah pada bonjol tangkai (berwarna merah) pada permukaan atas daun.  Kawasan ini menghubungkan helai daun (leaf lamina) dan tangkai daun.  Jika dibuat pemerhatian dibawah kanta pembesar kita akan nampal adanya titik / lubang dimana nektar tersebut terhasil. 

Pengeluaran nektar

Nektar banyak terhasil pada daun muda, iaitu antara pucuk yang ketiga hingga ke tujuh.  Pemerhatian yang dibuat oleh penternak menunjukkan nektar banyak terkeluar pada waktu pagi antara jam 9 hingga 11 pada musim panas.  Umur pokok adalah tidak begitu kritikal kerana nektar boleh terhasil pada pokok yang saiz batang kuran 2 cm diameter.  Walau bagaimanapun pengeluaran nektar adalah aktif bagi pokok yang sedang membesar, iaitu 8 tahun ke bawah.  Pokok yang telah melebihi 8 tahun dianggap tidak aktif dan boleh ditebang dan dijual sebagai balak.

Pemerhatian juga menunjukkan pancaran matahari boleh menggalakkan pengeluaran nektar.  Nektar akan banyak keluar jika pada malamnya hujan dan keesokkannya cuaca terang dengan pancaran matahari maksimum.  Satu lagi faktor yang penting yang mempengaruhi pengeluaran ialah kesuburan pokok Acacia itu sendiri dan ini secara langsung bergantung kepada kesuburan tanah.

Kesimpulan

Daripada pemerhatian-pemerhatian tersebut, saya boleh rumuskan bahawa pokok A. mangium ialah sejenis tanaman yang penting bagi penternakan lebah Apis dan lebah kelulut.   Sehubungan dengan itu, tanaman ini disyorkan untuk ditanam bersama dengan tanaman kelulut lain.  Pokoknya mudah hidup, cepat membesar dan boleh tahan sehingga sekurang-kurangnya 8 tahun sebelum dibuat penanaman semula.


EmoticonEmoticon

Hak Cipta Terpelihara

Perhatian: Segala maklumat di dalam blog ini mengandungi hak cipta. Tidak dibenarkan menyalin ke dalam mana-mana medium tanpa kebenaran penulis.
Jika ada sesiapa yang terjumpa mana-mana maklumat di dalam blog ini disalin di blog lain, mohon maklumkan kepada penulis. Kerjasama anda amatlah penulis hargai.

Musa Yaacob
012-938 5630
Kota Bharu, Kelantan.