Madu Lebah Raja Segala Ubat (Utusan Malaysia - 01/03/2013)

Utusan Malaysia - Sabah & Sarawak

ARKIB : 01/03/2013


Oleh CATOHRINNER GURI
utusansarawak@utusan.com.my
Delo Monis menunjukkan botol berisi madu lebah yang diperoleh dari kawasan hutan sekitar Padawan, Kuching.

KUCHING 28 Feb. - Selaras dengan perkembangan ilmu sains, dunia perubatan turut mengalami perubahan. Bagaimanapun, ilmu perubatan tradisional masih diamalkan dan salah satu daripadanya ialah penggunaan madu lebah.

Madu lebah dan perubatan mempunyai sejarah yang panjang, sejak dahulu lagi manusia menggunakannya sama ada diminum begitu sahaja atau dicampur dengan bahan lain.

Daripada sudut saintifik, madu lebah kaya dengan karbohidrat yang dikumpul daripada nektar bunga di mana komponen utamanya terdiri daripada fruktosa dan glukosa serta bahan-bahan kimia yang lain.

Walaupun digunakan secara meluas, masih ramai yang tidak mengetahui khasiat sebenar yang terdapat dalam madu asli.

Menurut Dr. Susan Percival daripada Jabatan Nutrisi Manusia dan Sains Makanan, Universiti Florida, madu lebah mengandungi pelbagai kandungan mineral dan vitamin seperti B6, thiamin, miacin, ribotlorina dan asid pontohenic.

Bagi Profesor Psikologi Universiti Of Virginia, Dr. Paul Gold, manusia dapat mengingati sesuatu perkara dengan lebih baik selepas mereka mengambil glukosa, sejenis gula yang terdapat dalam madu lebah.

Dalam situasi yang berbeza katanya, madu lebah juga berperanan sebagai anti-oksida dalam badan manusia yang mampu menghapuskan bahan-bahan radikal yang menjadi penyebab utama kepada penyakit kronik seperti kanser.

Jelasnya, madu lebah umpama raja segala ubat kerana mampu menyembuhkan pelbagai penyakit tidak kira luaran mahupun dalaman.

Justeru, madu lebah disarankan sebagai makanan tambahan yang penting memandangkan khasiatnya tidak ternilai khususnya dalam persekitaran semasa masyarakat yang semakin terdedah dengan pelbagai penyakit.

Untuk mendapatkan pandangan mengenai penggunaan madu lebah oleh masyarakat tempatan, Utusan Malaysia baru-baru ini menemui seorang pengamal perubatan tradisional di Kampung Bawang, Padawan, dekat sini, Miah Aheng, 55.

Menurut Miah Aheng yang berketurunan Bidayuh, kehebatan madu lebah bukan saja boleh dinilai daripada aspek keenakan dan aroma yang memikat bahkan memiliki kuasa penyembuh yang hebat.

"Dalam perubatan tradisional, madu lebah dipercayai mampu mengubat luka terbakar mahupun luka yang terbuka dengan mengusap madu bagi mempercepatkan penyembuhan, mengurangkan rasa sakit serta melawan jangkitan kuman," katanya.

Selain itu, jelasnya, madu lebah boleh dijadikan sebagai ubat batuk, sakit tekak, selesema, gastrik dan demam panas dengan hanya meminumnya.

Beliau juga mengatakan meminum teh bersama madu mampu mengurangkan keletihan badan kerana madu mampu menambah tenaga.

"Madu juga sesuai untuk bayi yang baharu tumbuh gigi kerana dapat menggelakkan bengkak pada gusi," katanya.

Anak Miah, Nomi Delo, 21, yang turut mendalami ilmu perubatan tradisional berkata madu lebah boleh digunakan sebagai bahan kecantikan wanita.

Katanya, antara kaedah menggunakan madu lebah untuk tujuan kecantikan ialah dengan menyapunya pada muka selama beberapa minit sebelum dicuci.

"Meminum madu mampu mengelakkan masalah keputihan dan haid dalam badan seseorang wanita dan juga dipercayai sebagai pemangkin awet muda jika diambil secara berterusan," katanya.

Walaupun madu lebah mempunyai pelbagai khasiat, proses mendapatkannya amat rumit dan mencabar bagi individu yang kurang mahir.

Seorang pencari madu lebah yang juga suami Miah, Delo Monis, 68, berkata beliau perlu menghidupkan unggun api untuk mendapatkan asap bagi menghalau lebah dari sarang.

"Kebiasaannya saya mendapat bekalan madu lebah asli daripada kawasan hutan di kawasan kami," kata Delo.

Dalam pada itu, sarang lebah yang beliau temui biasanya terdapat di pokok getah yang batangnya berlubang serta sudah mati.

Katanya, setelah lebah-lebah meninggalkan sarang, barulah beliau mengambilnya.

"Bagaimanapun, tidak semua yang meninggalkan sarang, saya sudah biasa disengat oleh saki baki lebah.

"Sarang itu akan dibawa pulang dan dipicit untuk mendapatkan madu manakala sarang yang muda akan dimakan," katanya sambil memberitahu sarang lebah muda mempunyai rasa berlemak seakan-akan susu.


EmoticonEmoticon

Hak Cipta Terpelihara

Perhatian: Segala maklumat di dalam blog ini mengandungi hak cipta. Tidak dibenarkan menyalin ke dalam mana-mana medium tanpa kebenaran penulis.
Jika ada sesiapa yang terjumpa mana-mana maklumat di dalam blog ini disalin di blog lain, mohon maklumkan kepada penulis. Kerjasama anda amatlah penulis hargai.

Musa Yaacob
012-938 5630
Kota Bharu, Kelantan.