Pokok Kegemaran Kelulut: Akasia atau Gelam?

Kita sedia maklum bahawa penternakan lebah Apis banyak diusahakan di kawasan tanaman akasia.   Selain daripada itu, penternakan lebah kelulut juga dilaporkan sangat sesuai dikawasan pokok akasia.  Ini memandangkan pokok Acacia didapati berbunga sepanjang tahun.

Tapi andakah anda tahu spesis akasia yang sesuai untuk penternakan lebah kelulut?  Bagi penternak baru, akasia juga kadangkala tertukar dengan pokok gelam.  Pada posting ini saya cuba menjelaskan perbezaan antara jenis Acacia yang biasa terdapat di Malaysia dan pokok gelam dan hubungannya dengan lebah kelulut.

Akasia puteh (Acacia mangium)

Sejenis pokok kekal yang boleh tumbuh sehingga puluhan kaki tinggi dan banyak terdapat dikawasan berpasir seperti ditepi-tepi pantai.  Daun berbentuk lonjong dengan urat daun jelas terbentuk dari tangkai daun.  Bunga berjambak dan berwarna puteh.  Bunga A. mangium jenis ini sangat disukai oleh lebah Apis. Sehubungan dengan itu banyak penternak mengusahakan ladang mereka dikawasan hutan Akasia.  Selain daripada lebah Apis, lebah kelulut juga suka menghinggapi bunga akasia spesis ini.

Selain daripada bunga, lebah juga didapati mengambil nektar dari pucuk daun. Pemerhatian yang dibuat menunjukkan kelulut memberi tumpuan kepada daun ketiga daripada pucuk.  Kehadiran nektar pada pangkal daun jelas kelihatan pada musim kering jika pemerhatian dibuat antara jam 7.00 hingga 9.00 pagi.  Selain daripada lebah, kita biasa kelihatan nektar yang terhasil akan dikerumi oleh semut.

Bunga Acacia mangium

Titik keluar nektar (warna kuning)
pada tangkai daun

Anak pokok Acacia mangium

Akasia kuning (Acacia auriculiformis)

Sifat yang jelas yang membezakan A. auriculiformis dan A. mangium ialah warna bunga.  A. auriculiformis mempunyai bunga yang berwarna kuning.  Daun juga amat berbeza.  Daun A. auriculiformis adalah lebih lonjong dan berbentuk semacam sabit.  Pemerhatian yang menunjukkan lebah Apis dan juga lebah kelulut tidak menyukai bunga spesis ini.  Dilaporkan bunga spesis Acacia ini beracun.  Ini mungkin mengapa kelulut atau lebah Apis tidak menyukainya.



Gelam puteh (Melaleuca cajuputi)

Pokok gelam banyak terdapat dikawasan lembab seperti kawasan tepi sungai dan alur-alur ditepi laut.  Keunikan utama pokok gelam ialah kulitnya batang yang berlapis-lapis dan nipis seperti kertas.  Bunganya berwarna puteh.  Bentuk daun adalah lebih kurang sama dengan A. mangium.   Kayu pokok gelam ialah kayu jenis keras.  Sehubungan dengan itu, pertumbuhan adalah sangat lambat berbanding dengan A. mangium atau A. auriculiformis

Bunga pokok gelam sangat disukai oleh lebah kelulut atau lepas Apis seperti A. dorsata, A. cerana ataupun A. millifera. Bunganya yang tumbuh berjambak, berwarna puteh krim mempunyai banyak nektar dan debunga.  Sehubungan dengan itu, aktiviti penternakan lebah Apis banyak diusahakan dikawasan hutan gelam.

Kulit yang berlapis-lapis dan nipis

Bentuk daun dan bunga pokok gelam

Pemerhatian yang dibuat menunjukkan tanaman ini sangat disukai oleh kelulut dan juga lebah Apis kerana nektar dan debunga yang banyak dan berbunga sepanjang tahun. Pencari koloni banyak menemui koloni lebah kelulut (terutama sekali G. thoracica) dikawasan hutan gelam spesis ini.

Gelam merah (Melaleuca viridflora)

Satu lagi spesis yang gelam yang amat disukai oleh lebah kelulut dan lebah ialah Apis M. viridflora.  Sifat pertumbuhan dan bentuk dan saiz daun adalah sama dengan gelam bunga puteh (M. cajuputi).   Yang jelas membezakan antara dua ialah bunganya.  Bunga M. viridflora berwarna merah terang.  

Pokok ini bukan berasal di Malaysia dan diimport untuk dijadikan tanaman hiasan kerana bunga dan sifat pertumbuhan yang cantik.  Pokok ini sangat tahan lasak dan sesuai untuk ditanam dipelbagai kawasan termasuk kawasan berpasir seperti tanah bris.

Jambak bunga

Gambar dekat bunga

Daun dan bentuk pertumbuhan

Kesimpulannya, terdapat 2 spesis akasia dan 2 spesis gelam. Akasia putih sesuai untuk penternakan lebah kelulut manakala akasia kuning tidak sesuai. Untuk pokok gelam pula, kedua-dua spesis iaitu putih dan merah boleh ditanam untuk meliponikultur.

Untuk maklumat lanjut berkenaan gelam puteh (Acacia mangium) klik disini.

4 komen

Macam mana nak biak tiap-tiap pokok? Ada jual biji benih tak?

Boleh dapat dinursey atau anak yang tumbuh dikawasan pokok berkenaan

Akasia sangat mudah didapati dan mudah tumbuh, tapi kena berwaspada juga akasia boleh jadi pokok parasit yang sukar dihapuskan jika tidak dikawal, dulu pernah kerja ladang kayu akasia, btw perkongsian yg sangat baik, kredit tuk admin

Anugerah Homestay delete 7/08/16 2:17 PTG

Terima atas info berkaitan. .
Baru sedang berjinak2 membela lebah kelulut ini..

www.AnugerahHomestay.com


EmoticonEmoticon

Hak Cipta Terpelihara

Perhatian: Segala maklumat di dalam blog ini mengandungi hak cipta. Tidak dibenarkan menyalin ke dalam mana-mana medium tanpa kebenaran penulis.
Jika ada sesiapa yang terjumpa mana-mana maklumat di dalam blog ini disalin di blog lain, mohon maklumkan kepada penulis. Kerjasama anda amatlah penulis hargai.

Musa Yaacob
012-938 5630
Kota Bharu, Kelantan.