Tip-Tip Pemindahan Koloni Pada Jarak Dekat


Apabila kita memperolehi koloni baru, sebaiknya kita tentukan terlebih dahulu dimanakah tempat kekal ingin diletakkan. Ini kerana selepas beberapa minggu / bulan disatu-satu tempat, ianya akan menjadi masalah sedikit apabila dipindahkan ke tempat lain di ladang yang sama. Walaupun dipindahkan pada waktu malam, pekerja akan ingat tempat lama dan akan kembali ke tempat lama walaupun jaraknya ratusan meter. Lebah ingat lokasi ini berdasarkan trak2 yang dibuat semasa keluar untuk mencari makanan. Trek ini dibuat sama ada dengan menggunakan bau-baun atau pheromon yang dihasilkan.

Walau bagaimanapun mengikut pengalaman penternak, beberapa kaedah boleh dibuat dan didapati dapat menyelesaikan masalah tersebut. Antara kaedahnya adalah seperti berikut:

1.  Memindahkan ke tempat jauh dahulu sebelum dipindah balik ke tempat kekal di ladang

Kaedahnya ialah sama dengan cara memindahkan log baru dari habitat asal. Caranya dengan memindah koloni tersebut satu kawasan yang agak jauh (lebih 2.3 km) pada waktu malam. Koloni tersebut hendaklah diletakkan ditempat baru lebih daripada dua bulan sebelum dipindah balik ketempat kekal diladang ternakan. Teknik adalah sesuai jika koloni berada dalam kotak dan tidak sesuai jika koloni berada dalam log kayu yang kadangkala agak besar dan susah untuk dipindahkan kesana sini.


Gambaran grafik jarak yang bersesuaian untuk
pemindahan koloni

2.   Dengan cara menutup corong keluar masuk selama 2 -3 hari selepas dipindah ditempat baru

Teknik agak sesuai jika pemindahan didalam kawasan yang jaraknya agak jauh dikawasan ladang ternakan. Pemindahan dijalankan pada waktu malam selepas pintubcorong ditutup. Corong keluar/masuk ditutup selama 2 hari sebelum dibuka kembali ditempat baru. Pemerhatian yang dibuat oleh penternak menunjukkan keharmonian koloni tidak terjejas jika ditutup selama dua hari kerana makanan simpanan yang ada boleh memenuhi keperluan koloni berkenaan semasa corong ditutup.

3.   Pergerakan sedikit demi sedikit

Bagi perpindahan jarak dekat, 5-10 m, perpindahan boleh dibuat dengan mengubah tepat kedudukan sedikit demi sedikit. Anggaran jarak bagi setiap pergerakan ialah dalam 1 m. Pergerakan ini diulang setiap 3-4 hari. Walau bagaimanapun, perlu dingatkan pergerakan tidak seharus bersilang dengan arah pergerakan koloni berdekatan sedia ada. Jika ini berlaku, pergaduhan antara koloni mungkin berlaku.





Pengunaan Haif Dummy 

Pemerhatian yang dibuat menunjukkan 20% lebah pekerja yang keluar setiap pagi tidak balik ke sarang pada hari yang sama.  Sebaliknya ianya akan pulang keesokan hari.  Disamping itu, ada juga yang tetap pulang ke lokasi asal dengan menggunakan jaringan bau yang ada. Dengan itu sebaiknya letakkan haif kotak kosong (dummy box) pada tempat asal koloni yang telah dipindahkan. Tanpa kotak dummy ini, koloni yang pulang akan ke tempat asal akan mencoroboh sarang koloni lain dan seterusnya akan menyebabkan perkelahian berlaku. Kemungkinan juga pekerja ini akan mencuba mencari lubang yang sesuai berdekatan untuk membuat sarang.  Sarang yang tidak kemas dan jumlah pekerja yang tidak ramai akan menyebabkan koloni baru akan terdedah kepada musuh seperti semut liar, cicak dan pemangsa lain.

Daripada ujian yang telah dijalankan oleh seorang penternak, bagi H. itama yang kuat, sebanyak 300-400 pekerja akan masuk ke kotak dummy yang telah disediakan.  Penternak ada dua pilihan apakah yang patut dibuat terhadap koloni dalam kotak dummy tadi.

1. Letakkan dummy hive bersebelahan sarang asal dan kelulut akan bergabung kembali dengan koloni utama

2. Jarakkan dummy hive sekitar 2 m untuk peluang penghasilan koloni baru.  Untuk tujuan ini, ianya sebaiknya dibuat pada masa yang bersesuaian iaitu pada musim kering,  antara bulan Mac hingga Julai.  Pada masa ini sumber makanan adalah terbanyak dan juga merupakan musim mengawan (swarming).  Apa yang diharapkan ialah bakal ratu dari koloni asal berpindah ke kotak dummy ini dan akan menghasilkan satu koloni baru apabila ianya dapat mengawan dengan lebah jantan yang ada.

Bacaan Tambahan  : Perbincangan di grup FB Kelab Lebah Kelulut

1 komen so far

Assalamualaikum tuan.

Berapa lamakah tempoh untuk koloni kelulut di dalam kotak dummy diletakkan di sebelah log asal?Adakah selama 1 malam sahaja?

Terima kasih.


EmoticonEmoticon

Hak Cipta Terpelihara

Perhatian: Segala maklumat di dalam blog ini mengandungi hak cipta. Tidak dibenarkan menyalin ke dalam mana-mana medium tanpa kebenaran penulis.
Jika ada sesiapa yang terjumpa mana-mana maklumat di dalam blog ini disalin di blog lain, mohon maklumkan kepada penulis. Kerjasama anda amatlah penulis hargai.

Musa Yaacob
012-938 5630
Kota Bharu, Kelantan.