9 Tip Pemilihan Pokok Sebagai Sumber Nektar & Pollen Untuk Kelulut

Hasilan utama daripada haif lebah kelulut ialah madu, roti lebah dan propolis. Madu ialah hasil dari pengumpulan nektar yang dicampur dengan enzim yang terdapat dalam perut lebah kelulut. Roti lebah pula ialah hasil daripada pengumpulan debunga bunga. Propolis ialah campuran lilin lebah dan damar (resin) dari pucuk atau bunga yang dikumpul oleh lebah kelulut.

Jika kita memahami sifat-sifat lebah kelulut itu sendiri, ianya aktif sepanjang hari dan sepanjang tahun, 365 hari setahun.  Walau bagaimanapun, di atas halangan fizikal, lebah kelulut tidak dapat terbang jauh pada masa musim hujan.

'Foraging'

Jika ianya memerlukan perjalanan yang jauh untuk mencari sumber makanan yang diperlukan, kadangkala lebah kelulut pekerja ini tidak sempat pulang ke sarang pada waktu senja.  Lebah kelulut ini akan menumpang hinggap dipokok-pokok didalam perjalanan dan meneruskan perjalanan balik ke sarang pada keesokan pagi.

Bunga kesukaan lebah kelulut
Antara tumbuhan makanan yang dihinggapi kelulut

Sumber Makanan Lebah Kelulut

Menyedari hakikat ini antara perkara yang harus diambil kira sebelum membuat pilihan tanaman sebagai sumber makanan kelulut adalah seperti berikut:

1. Keluasan ruang yang ada untuk tujuan penanaman dengan tanaman yang dipilih.  Jika kita mempunyai kawasan yang luas, yang terbaik kita pilih tanaman kekal yang mempunyai kanopi yang lebar.  Bagi kawasan ternakan yang terhad seperti ditaman, pokok yang mempunyai kanopi yang kecil (dan boleh ditanam didalam pasu) hendaklah menjadi pilihan.

2. Tentukan tanaman yang dipilih memang dihinggapi oleh lebah kelulut.  Setengah bunga tidak dihinggapi oleh kelulut walaupun pokok tersebut mempunyai bunga yang banyak dan berbunga sepanjang tahun

3. Pilih pokok yang berbunga sepanjang tahun.  Jika kawasan ternakan ialah berhampiran dengan dusun, ianya tidak menjadi masalah pada musim pokok buah-buahan seperti rambutan, durian, jambu dan lain-lain berbunga.  Tanaman yang dipilih seharusnya berbunga diluar musim buah-buahan dusun ini berbunga.

4. Pilih tanaman yang kembang sepanjang hari kerana lebah kelulut bekerja sepanjang hari mengangkut nektar dan pollen bermula seawal 7.00 pagi sehingga 7.00 malam.  Kelulut pekerja akan berulang alik dari sumber makanan ke sarang sepanjang hari.  Jumlah ulangan akan bergantung kepada jarak pokok tersebut dengan koloni.  Ada setengah pokok seperti kembang pagi (Turnera sp) hanya kembang diwaktu padi dan sebaliknya pokok markisa kembang diwaktu petang sahaja

5. Sebaiknya pilih pokok yang hidup banyak musim dan tidak memerlukan penanaman dibuat berulang kali. Sesetengah pokok akan mati selepas 3-4 bulan dan terpaksa menunggu beberapa minggu sebelum yang ditanam baru berbunga semula.

6. Pilih pokok yang mudah untuk dijaga, tahan lasak dan mampu bertahan dalam keadaan cuaca yang ekstrem seperti keadaan kering (dimusim kemarau) dan air yang berlebihan dimusim hujan.

7. Pilih pokok yang struktur bunga yang berkelompok setempat.   Ini bagi memudahkan kelulut bergerak dari bunga ke bunga tanpa memerlukan jarak penerbangan yang jauh.

8. Pilih pokok yang memerlukan masa yang singkat untuk berbunga daripada mula menanam.

9. Pilih pokok yang memberi hasilan kepada penternak seperti buah yang terbentuk hasil dari pendebungaan yang telah dijalankan oleh kelulut.


Bunga kesukaan lebah kelulut
Antara tanaman pumbuhan perhiasan dan rumpai yang dihinggapi kelulut

Bunga Kesukaan Kelulut

Berdasarkan faktor di atas, tumbuhan yang penternak kelulut harus tanam sebagai sumber nektar dan pollen bagi kelulut adalah seperti berikut:

a). Belimbing madu - disukai kelulut, tumbuhan kekal, bebunga sepanjang tahun/kembang sepanjang hari, hasilan buah, bunga berkolompk.

b) Air mata pengantin - disukai kelulut, tumbuhan kekal, bebunga sepanjang tahun/kembang sepanjang hari, bunga berkolompk.

c). Selasih - disukai kelulut, tumbuhan kekal, bebunga sepanjang tahun/kembang sepanjang hari, bunga berkolompk.

d). Bunga biden - disukai kelulut, tumbuhan semusim, bebunga sepanjang tahun/kembang sepanjang hari, bunga berkolompk.

e). Pokok markisa - disukai kelulut, tumbuhan kekal, bebunga sepanjang tahun/kembang petang sahaja.

f). Turneria - disukai kelulut, tumbuhan kekal, bebunga sepanjang tahun/kembang pagi sahaja, bunga berkolompk.

g). Ulam raja - disukai kelulut, tumbuhan semusim, bebunga sepanjang tahun/sepanjang hari, bunga berkolompk.

Rujukan di grup FB


  1. http://bit.ly/Fb-TanamanMakanan
  2. http://bit.ly/KelulutTanamanHiasan
  3. http://bit.ly/FB-TanamanPilihan


EmoticonEmoticon

Hak Cipta Terpelihara

Perhatian: Segala maklumat di dalam blog ini mengandungi hak cipta. Tidak dibenarkan menyalin ke dalam mana-mana medium tanpa kebenaran penulis.
Jika ada sesiapa yang terjumpa mana-mana maklumat di dalam blog ini disalin di blog lain, mohon maklumkan kepada penulis. Kerjasama anda amatlah penulis hargai.

Musa Yaacob
012-938 5630
Kota Bharu, Kelantan.